Friday, 19 August 2011

LAILATUL QADAR: PELUANG SEKALI SEUMUR HIDUP


(19 Ogos 2011/ 19 Ramadan 1432H)          
الحَمْدُ للهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِالله مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا  وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِيَ لَهُ،أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلِهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلَّمْ عَلَىمُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِاِحْسَانٍ اِلَى يَوْمِ الدِّيْن.
ياأيها الناس اتقوا ربكم الذي خلقكم من نفس واحدة وخلق منها زوجها وبث منهما رجالا كثيرا ونساء واتقوا الله الذي تساءلون به والأرحام إن الله كان عليكم رقيبا
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوْا الله أُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sesungguhnya kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat hanyalah ditentukan oleh iman dan takwa. Mimbar hari ini akan membicarakan tajuk ”Lailatul Qadar: Peluang Sekali Seumur Hidup
”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita akan memasuki fasa ketiga bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini. Marilah kita menggunakan peluang dan tawaran yang berharga ini bagi menambahkan bekalan akhirat. Lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan yang mempunyai satu malam yang sangat istimewa iaitu Lailatul Qadar. Sesiapa yang mengerjakan amal ibadat pada malam tersebut akan mendapat ganjaran pahala ibadat yang dikerjakan selama seribu bulan. Maka beruntunglah siapa yang mendapat kelebihan beribadat pada malam tersebut .
Firman Allah SWT  dalam surah Al-Qadar ayat 1-5:
إِنَّا أَنْزَلْناهُ فِى لَيْلَةِ الْقَدْرِ * وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ * لَيْلَة الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْر * تَنَزَّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيَها بِإِذْنِ رَبّـِهم مِّن كُلِّ أَمْر * سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Maksudnya: "Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.  Pada malam itu turun para Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut. Sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar ". 
Berdasarkan ayat ini, pada malam Lailatul Qadar para Malaikat membawa rahmat daripada Allah SWT turun ke dunia untuk dikurniakan kepada orang yang beribadat pada malam itu. Sepatutnya kita merasa rugi dan kesal jika mensia-siakan peluang keemasan yang Allah sediakan pada malam Lailatul Qadar. Janganlah kita merasakan amal ibadah kita terlalu banyak sehingga mengabaikan kelebihan malam tersebut. Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW akan mempertingkat amalan sebaik sahaja memasuki malam ke 21 Ramadan iaitu dengan beriktikaf di masjid, membangunkan ahli keluarga untuk bersolat malam dan sebagainya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa baginda benar-benar berusaha untuk memperolehi kelebihan malam Lailatul Qadar itu. Dalam hadis riwayat Al-Bukhari menyatakan bahawa Aisyah RA berkata : 
"كَانَ النَّبيُّ صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذاَ دَخَلَ الْعَشْرُ الْأَوَاخِرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ".
Maksudnya : "Sesungguhnya nabi SAW apabila masuk sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan, baginda akan mempertingkat amal ibadah, menghidupkan ibadat malam dan membangunkan ahli keluarga daripada tidur untuk beribadat".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Lailatul Qadar menjadi kayu pengukur atas kekuatan iman dan takwa umat Islam sepanjang bulan Ramadan. Amal ibadat yang dilakukan bertepatan dengan malam tersebut akan memperolehi pahala yang berlipat ganda. Bagi seseorang yang ditakdirkan bertemu dengan Lailatul Qadar tersebut, maka hendaklah membanyakkan doa memohon keampunan kepada Allah SWT atas segala dosa yang telah dilakukan. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Al-Bukhari, yang bermaksud: “Sesiapa mengerjakan ibadat pada malam Lailatul Qadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan ganjaran-Nya, nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu".
Imam Al-Tirmizi meriwayatkan hadis daripada Aisyah RA bahawa aku pernah bertanya kepada Rasullullah SAW: “Wahai Rasulullah! Apa pandangan engkau, sekiranya aku mengetahui suatu malam itu ialah Lailatul Qadar, apakah yang sepatutnya aku lakukan pada malam itu? Rasulullah SAW bersabda: Berdoalah:
اللَّهُمَّ اِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya Engkau sentiasa memaafkan kesalahan hamba-Mu, serta suka memaafkannya. Oleh itu maafkan kesalahanku".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Memang tidak dapat dinafikan bahawa pada penghujung Ramadan ini, terdapat sebahagian besar umat Islam sibuk dengan membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sebab itulah kita boleh melihat pada malam 10 terakhir ini, masjid-masjid menjadi lengang dan sepi, para jemaah solat terawih semakin berkurangan, dan pasaraya-pasaraya menjadi tempat tumpuan. Malah ada sebahagian suri-suri rumah sibuk dengan persediaan menyambut hari lebaran seperti mengemas rumah dan membuat kuih muih sehingga ada dalam kalangan mereka tidak melakukan ibadat puasa dan terawih kerana keletihan.
Mimbar ingin menyatakan bahawa suasana yang sebegini, sebenarnya tidak sepatutnya dilakukan oleh kita adalah amat rugi orang yang berbuat sedemikian. Hal ini kerana tahap terakhir inilah kemuncak Ramadan di mana kita mesti melipat-gandakan ibadat dengan tidak mensia-siakan peluang yang ada, kerana kita belum pasti lagi berpeluang atau tidak untuk terus bersama dengan ibadat Ramadan pada tahun hadapan.
Justeru, langkah terbaik adalah kita hendaklah terus beristiqamah melakukan amal ibadah pada sepuluh malam terakhir terutama pada malam-malam ganjil. Allah SWT merahsiakan bila terjadinya malam Lailatul Qadar itu daripada pengetahuan kita dengan tujuan supaya kita membanyakkan ibadat dan amal kebajikan pada sepanjang bulan Ramadan.
Sidang Jumaat Sekalian,
Persoalan besar timbul adalah apakah bentuk ibadat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW pada 10 terakhir Ramadan yang amat wajar kita contohi. Antara yang dianjurkan oleh para ulama ialah:
Pertama: Menghidupkan malam iaitu sekurang-kurangnya melaksanakan solat Isyak, Terawih dan Subuh secara berjemaah, di samping mengamalkan ibadat-ibadat yang lain seperti membaca Al-Quran dan membanyakkan doa kepada Allah SWT.
Kedua: Bangun bersama ahli keluarga untuk turut membuat pengisian ibadat kepada Allah SWT dengan solat, tilawah Al-Quran dan Istighfar pada waktu sahur.
Ketiga: Mengikat kain iaitu merujuk kepada amalan Rasulullah SAW tidur berasingan dengan isteri pada 10 malam terakhir untuk memberi tumpuan beribadat kepada Allah SWT.
Keempat : Rasulullah SAW melakukan iktikaf di masjid. Baginda memasuki masjid sebelum waktu Maghrib pada 20 Ramadan. Antara aktiviti yang dilakukan semasa iktikaf adalah bermunajat, membaca Al-Quran, berzikir dan berdoa kepada Allah SWT.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Mimbar pada hari ini juga ingin mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya berbelanja secara berhemah pada bulan ibadat ini. Berbelanjalah pada bulan Ramadan ini dengan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang penting sahaja tanpa perlu melakukan pembaziran. Janganlah kita membazir dengan membeli juadah berbuka puasa yang berlebihan serta membakar duit dengan membeli rokok atau mercun yang haram dan membawa dosa. Hal ini kerana membeli rokok dan mercun adalah haram kerana ia memudaratkan dan membazir. Islam menuntut kita bersifat jimat cermat dan menghindari sifat pembaziran kerana membazir itu adalah sifat buruk dan tercela serta digolongkan sebagai saudara syaitan. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Israa' ayat 27:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
Bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang boros (pembazir) itu, adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.Marilah kita berdoa kepada Allah SWT semoga segala amal ibadat yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan ini diterima Allah SWT dan seterusnya mendapat keberkatan, keampunan dan keredhaan dari Allah SWT
alt

No comments:

Post a Comment