Monday, 1 August 2011

PUASA DAN HARI KEBANGKITAN

Inilah anjuran daripada Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam bagi mereka yang merentasi perjalanan mencari keredhaan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala pada kalangan orang-orang yang beriman dan para daie (pendakwah). Anjuran atau panduan ini menggesa mereka supaya melatih diri dan membiasakannya dengan kehidupan yang sulit dan payah. Mengasuh diri dengan menahannya daripada sentiasa menikmati apa yang diingini dan disukai. Dengan itu diri mudah dikuasai (dikawal) dan dilentur.
Sabda Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam;

"Biasakan diri dengan kesusahan sebab nikmat kesenangan hidup tidak kekal selama-lamanya."

Anjuran Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam ini adalah cara yang praktikal dalam Tarbiyah Rabbaniyah (pendidikan berteraskan ketuhanan). Ia adalah suatu pendekatan yang mempunyai kesan yang mendalam dalam pembentukan dan pemurnian diri manusia. Latihan seperti ini dapat menjadikan daie seorang hamba Allah Subha Nahu Wa Ta'ala yang benar-benar patuh serta tunduk kepada Allah Rabbul 'Alamin.


Keimanan bukan sekadar omong kosong atau sekadar teori; menggembar-gemburkan tentang Tarbiyah Rabaniyyah dengan lidah ataupun ungkapan yang enak didengar telinga sahaja. Malah mestilah wujud perlaksanaan amali yang dapat membersihkan dan memurnikan jiwa serta hati daripada segala kotoran dan karat-karat dosa dan seterusnya dapat menguatkan hakikat keimanan itu sendiri di samping membawa seseorang itu mencapai tahap kesempurnaan.

Sebagai contoh ialah ibadah puasa. Puasa ialah salah satu latihan kerohanian yang amat berkesan. Ia dapat memperkuatkan iradat (kemahuan). Ia memastikan dorongan iman dan taqwa sebagai penguasa kepada keperluan-keperluan jasad. Dengan demikian jasad hanyalah acuan dan rangka yang menurut tuntutan dan hati nurani.

Puasa dapat menghaluskan perasaan, mengembangkan kecenderungan ke arah keluhuran, membersihkan fikiran dan memurnikan hati serta menjernihkan jiwa dan perasaan.

Oleh kerana itulah ganjaran orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan penyerahan diri kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala pada hari-hari dan saat-saat yang panas terik ialah mereka akan dibebaskan daripada kepanasan hari Kiamat yang tiada tolok bandingnya. Sesungguhnya ganjaran Allah Subha Nahu Wa Ta'ala itu akan diberi mengikut jenis amal yang dilaksanakan. Sekiranya jenis amal itu baik, maka ganjarannya juga baik tetapi sekiranya jenis amal itu buruk, maka pembalasannya juga buruk dan menyakitkan. Allah Subha Nahu Wa Ta'ala berfirman;

"Barang siapa yang beramal sebesar zarah kebajikan ia pasti akan melihat ganjarannya dan barang siapa yang beramal sebesar zarah kejahatan pasti juga akan melihat pembalasannya."
[Az-Zalzalah]

Perbandingan suasana di antara dua tempat itu begitu besar sekali malah perbezaan di antara kepanasan dunia dengan kepanasan akhirat, di antara kesulitan berpuasa pada hari yang panas terik dengan kesulitan dan kepayahan pada hari Kiamat adalah perbandingan yang tiada taranya. Tetapi itulah pemberian Allah Subha Nahu Wa Ta'ala kepada orang yang sanggup berpuasa pada hari yang begitu panas dengan penuh keikhlasan.

Sayyidatina Aisyah radiyaLlahu 'anha berkata:

"Aku pernah mendengar Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam bersabda: ''Pada hari Kiamat, manusia dibangkitkan dalam keadaan berkaki ayam dan bertelanjang.' Aku bertanya: 'Ya Rasulullah, tidakkah orang-orang lelaki dan perempuan pandang memandang antara satu sama lain?' Jawab Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam; 'Wahai Aisyah, keadaan hari itu lebih besar, lebih dahsyat untuk (tidak) menyebabkan seseorang itu ingin melihat kepada yang lain."
[HR Bukhari]

Inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah Subha Nahu Wa Ta'ala;
"Pada hari itu setiap orang mempunyai urusan yang menjadi perhatian dan penumpuannya." ['Abasa: 37]

Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam juga bersabda;

"Sesungguhnya peluh manusia pada hari Kiamat melimpah-limpah di bumi sedalam tujuh puluh hasta dan ia sampai kepada mulut-mulut dan telinga-telinga manusia."
[HR Muslim]

Bencana yang besar ini dapat dihalang oleh seseorang Mukmin dengan keimanan yang sebenarnya kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala, iltizamnya yang hakiki terhadap agamanya dan meletakkan sangka baik terhadap Allah Subha Nahu Wa Ta'ala di samping ia berusaha mendekatkan dirinya kepada Allah Azzawajalla dengan puasa, solah dan segala amal ibadah serta ketaatan yang lain. Inilah yang menyebabkan Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam berpesan kepada Sayyidatina Aisyah dengan sabdanya:
"Wahai Aisyah, hendaklah engkau sentiasa mengetuk pintu syurga dengan lapar."

Allah Subha Nahu Wa Ta'ala menggandakan ganjaran bagi orang-orang yang berpuasa dan memberikan ganjaran yang baik kepada mereka.

Tersebut di dalam sebuah hadis qudsi:

"Setiap amal anak Adam diberikan ganjaran sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda kecualilah puasa. Sesungguhnya ia adalah untukKu, Akulah yang akan memberikan ganjarannya. Ia meninggalkan syahwat dan makan semata-mata keranaKu."

Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam telah mengisyaratkan kepada maqam untuk mereka yang telah berjaya mengawal hawa nafsu mereka dan keinginan-keinginan mereka.

"Sesungguhnya di syurga, terdapat sebuah pintu yang bernama ar-Rayyan di mana orang-orang yang berpuasa masuk melaluinya pada hari Kiamat. Tiada [orang lain] yang dapat melalui pintu itu. Apabila mereka semua masuk, pintu tersebut tertutup dan tidak akan ada lagi orang yang akan masuk melaluinya."

Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam menjelaskan bahawa puasa juga memberi syafaat kepada tuannya pada hari yang penuh dengan kecemasan dan ketakutan itu. Sabda baginda Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam;
"Puasa dan Al-Quran memberi syafaat kepada seorang hamba pada Hari Kiamat. Puasa berkata: "Wahai Tuhan, aku telah menghalangnya daripada makan dan nafsu syahwat, maka berikan syafaat kepadanya disebabkan oleh aku ini…."

Maka hendaklah setiap daie bermujahadah terhadap dirinya dan melatih dirinya dengan berpuasa. Sesungguhnya ia merupakan satu amalan yang begitu kuat dan penting untuk pembersihan diri (tazkiah an-nafs) agar kelak ia mampu untuk merentasi Hari Kiamat dengan penuh aman dan mendapat pemeliharaan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala yang berterusan.

No comments:

Post a Comment